fbpx
https://www.facebook.com/share/v/1HHodxcmr6/?mibextid=wwXIfr Tangkap layar rakaman CCTV kejadian samun bersenjata di kawasan Melati Square

Parang diacu, RM600 lesap sekelip mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Detik cemas seorang pekerja kedai serbaneka apabila berdepan dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Melati Square di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi, mangsa dikatakan sedang bertugas sebelum didatangi dua lelaki memakai jaket berwarna kelabu dan hitam serta bertopi keledar bagi menyembunyikan identiti.

Situasi bertukar tegang apabila salah seorang suspek bertindak mengacukan parang ke arah mangsa, dan terus mengugutnya menyerahkan wang di kaunter.

Difahamkan, kedua-dua suspek hanya mengambil masa beberapa minit sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM600.

Mangsa kemudian menghubungi majikannya memaklumkan kejadian sebelum laporan dibuat di Balai Polis Nilai pada pukul 3.32 pagi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya mengesahkan kejadian dan sedang giat mengesan suspek.

“Suspek melarikan diri menaiki motosikal Yamaha Y15 berwarna ungu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, tiada kecederaan
dilaporkan dan mangsa berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, pasukan siasatan jenayah bersama unit forensik telah ke lokasi bagi mengumpul bukti serta mengenal pasti laluan suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN