KULIM – Tanda tanya kehilangan seorang lelaki sejak empat hari lalu terungkai apabila ia dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat dalam keadaan rentung disyaki dibunuh di Ladang Anak Kulim, di sini semalam.
Mayat mangsa yang dipercayai berusia 77 tahun itu ditemukan orang awam yang mahu menahan burung di kawasan ladang tersebut sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 2.25 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, orang awam berkenaan menjumpai mayat mangsa ketika dia berada di kawasan berbukit yang terletak bersebelahan lokasi kejadian.
“Dia kemudian beredar dari lokasi itu sebelum memaklumkan penemuan mayat tersebut kepada polis bantuan di kawasan ladang.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan rentung serta dalam proses pereputan. Motosikal yang berada berhampiran turut ditemukan rentung,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, hasil semakan lanjut, pihak polis berjaya mengesan waris mangsa berdasarkan pengecaman ke atas motosikal tersebut.
“Menurut keterangan, waris memaklumkan ahli keluarga mereka yang berusia 77 tahun dan tidak bekerja telah keluar rumah sejak empat hari lalu dan tidak pulang,” ujarnya.
Jelasnya, pengecaman mangsa setakat ini hanya melalui motosikal yang ditemukan, manakala pengesahan identiti sebenar mangsa dilakukan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, susulan penemuan mayat itu, pihak polis bertindak menahan dua lelaki berusia 22 dan 68 tahun kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari hingga 1 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar. – KOSMO! ONLINE














