TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan hari ini bahawa ia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kilang aluminium di Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dengan menyasarkan apa yang mereka sifatkan sebagai industri berkaitan tentera Amerika Syarikat (AS).
Sejak perang Asia Barat meletus akhir Februari lalu, Bahrain dan negara-negara Teluk lain kerap menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron Iran sebagai tindak balas terhadap kempen AS-Israel, yang kini memasuki bulan kedua.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh penyiar IRIB, IRGC berkata, mereka menyerang sebuah kemudahan aluminium di UAE dan kilang utama Aluminium Bahrain.
Ia menggelar kedua-dua tapak itu sebagai industri yang bergabung dan berkaitan dengan sektor tentera serta aeroangkasa AS di rantau itu.
IRGC berkata, serangan itu adalah tindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas infrastruktur perindustrian Iran yang dilancarkan dari pangkalan di negara-negara Teluk.
Aluminium Bahrain yang merupakan salah satu pengeluar aluminium terbesar di dunia berkata, dua pekerja cedera dalam serangan Iran yang menyasarkan kemudahannya semalam.
Syarikat itu yang juga dikenali sebagai Alba berkata, pekerja mengalami kecederaan ringan.
Emirates Global Aluminium pula berkata semalam bahawa serangan Iran telah menyebabkan kerosakan ketara di salah satu tapaknya di Abu Dhabi dan mencederakan enam pekerja. – AFP














