LONDON – Impian Roberto De Zerbi untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris dengan mengemudi Tottenham Hotspur mungkin tidak kesampaian gara-gara Mason Greenwood.
Beberapa organisasi aktivis wanita seperti Women of the Lane, Proud Lilywhite dan Spurs Reach telah mengeluarkan kenyataan supaya pihak pengurusan kelab itu tidak melantik De Zerbi sebagai pengendali baharu sekiranya mahu memecat Igor Tudor.
Masa depan Tudor bersama Spurs sebagai pengendali sementara makin kelam selepas hanya mencatat satu kemenangan dan masih gagal untuk memperbaiki prestasi pasukan itu ketika ini yang berdepan ancaman tersingkir ke Liga Kejuaraan.
Situasi itu menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa De Zerbi dianggap calon terbaik untuk menyelamatkan Spurs, namun organisasi wanita berkenaan melancarkan kempen ‘katakan tidak kepada De Zerbi’.
Ia berpunca daripada kenyataan De Zerbi ketika menyambut ketibaan Greenwood di Marseille pada 2024 ketika bekas pemain United itu berdepan tuduhan keganasan terhadap teman wanitanya.
De Zerbi ketika itu mengakui bahawa Greenwood adalah seorang individu yang baik dan tuduhan serta pandangan awam terhadapnya adalah keterlaluan berbanding apa yang telah dilakukan.
Ekoran kenyataan itu, kelab penyokong Spurs tidak mahu kehadiran De Zerbi merosakkan budaya mereka di kelab itu dan menggesa pihak pengurusan memilih calon lain untuk menggantikan Tudor. – AGENSI














