KOTA BHARU – Beberapa lagi individu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, tindakan itu dijalankan selepas polis menahan dua wanita yang merupakan pemilik dan penjaga gerai tersebut sebelum ini.
Menurutnya, pemilik premis yang berusia 44 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari.
“Siasatan lanjut untuk menahan individu lain masih giat dijalankan. Justeru, kita tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya.
Mohd. Azmir memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kecuaian mengendalikan api atau bahan mudah terbakar sehingga boleh membahayakan nyawa dan harta benda.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh pada Selasa lalu.
Mohd. Azmir Damiri berkata, pemilik premis itu yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun dan penjaga kedai tersebut diberkas kira-kira pukul 8.30 malam.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, wanita itu mempunyai permit dan lesen untuk menjalankan perniagaan bunga api dan mercun.
“Wanita itu juga merupakan pemilik kedai makan dan menjalankan perniagaan menjual bunga api di alamat sama dengan premis tersebut.
“Pihak forensik bomba mengenal pasti kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari kedai makan ke lampu warna-warni di gerai bunga api dan mercun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














