PETALING JAYA – Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Sharifah Mahani meluahkan kesyukuran dan gembira melihat keserasian anaknya bersama pasangan, Bella Astillah yang disifatkan sangat memahami dan pandai membawa diri.
Malah, pemilik nama lengkap Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz itu memuji Bella yang boleh berkongsi minat sama dengan Saddiq.
“Dia boleh ada persefahaman dengan Saddiq. Dia minat dalam bidang sukan.
“Apa yang Saddiq sukai, dia pun sama-sama ceburi.
“Jadi dari situ saya tahu Saddiq bukan keseorangan, dia ada teman untuk bersama-sama,” katanya dalam sebuah video.
Tambahnya, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, seorang anak yang baik bukan sahaja dengan ibu bapa kandung malah dengan seluruh keluarga pihak lelaki.
“Bella seorang anak yang baik, dia mendengar kata bukan saja dari ibu dan ayah dia.
“Juga dari pihak keluarga, dia cuba sesuaikan diri. Alhamdulillah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Sharifah Mahani mendoakan agar hubungan pasangan berkenaan dipermudahkan selain mengharapkan segala cita-cita mereka dimakbulkan Allah SWT.
“Untuk mereka berdua, harapan dari seorang ibu mudah-mudahan anakku Bella yang disayangi dan kedua-dua mereka Allah permudahkan kehidupan sampai ke jannah.
“Mudah-mudahan apa yang dihajati serta cita-cita mereka dimakbulkan Allah. Doa sentiasa diiringi,” jelasnya.
Semalam, pelantun lagu Lebih Baik Berpisah itu selamat bergelar tunangan kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis.
Syed Saddiq juga mengundang perhatian ramai apabila hadir membawa jambangan bunga kepada bakal isterinya.
Bakal pengantin terbabit bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.
Syed Saddiq pula turut menyerahkan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak Bella, Ayden dan Ara, sebagai simbol kasih serta keprihatinan beliau terhadap masa depan mereka.
Terdahulu, pasangan yang mula intim sejak awal 2024 itu diraikan sekitar 150 tetamu termasuk selebriti yang hadir berbaju tradisional mengikut tema warna kuning. – KOSMO! ONLINE






