SUZUKA – Bekas juara dunia empat kali, Max Verstappen mengakui perubahan saat akhir terhadap peraturan penjimatan tenaga Formula Satu (F1) hanya memberi kesan kecil menjelang Grand Prix (GP) Jepun hujung minggu ini.
Badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengumumkan pelarasan baharu yang membolehkan pelumba menjimatkan tenaga ketika sesi kelayakan, sekali gus memberi peluang untuk memecut lebih agresif sepanjang satu pusingan.
Bagaimanapun, Verstappen yang kurang gemar dengan peraturan baharu musim ini menegaskan perubahan tersebut tidak mengubah situasi secara keseluruhan.
“Ini adalah realiti yang kita hadapi sekarang dan kita hanya perlu terima keadaan ini buat masa ini,” katanya.
Menurutnya, pelumba masih berdepan cabaran sama terutama dalam menguruskan penggunaan tenaga sepanjang sesi kelayakan.
“Pengurangan kepada lapan megajoule mungkin membantu sedikit, tetapi asasnya masih sama. Kita masih perlu berhati-hati dengan penggunaan pendikit,” jelasnya.
Perubahan itu dibuat susulan kritikan terhadap peraturan baharu yang memperkenalkan pengurusan tenaga kompleks dengan pembahagian kuasa 50-50 antara enjin konvensional dan elektrik.
Verstappen yang kini menduduki tangga kelapan keseluruhan selepas dua perlumbaan, turut mengakui musim 2026 memberikan cabaran berbeza berbanding tahun lalu.
“Saya harap akan ada perubahan lebih besar pada musim depan kerana buat masa ini tidak banyak yang boleh dilakukan,” katanya. – AFP














