BERDEPAN kegagalan dalam percintaan sekitar dua tahun lalu, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz tidak menutup pintu hati terhadap mana-mana lelaki.
Biarpun tempoh 12 tahun berusaha menjaga hubungan, namun akhirnya terlerai di tengah jalan, anggota kumpulan De Fam itu percaya dengan ketentuan takdir.
Mahu buka buku baharu, pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan, 34, berharap doa dimakbulkan Syawal tahun depan dapat memperkenalkan si dia kepada keluarga.
“Sejujurnya saya tak mencari pun (jodoh), kalau ada, ada. Saya melawak tapi walaupun sekadar gurauan, kata-kata juga merupakan satu doa. Minta aminkan sahaja.
“Siapa yang tak mahu berteman? Cuma kita kena percaya dengan qada dan qadar.
“Masanya akan tiba nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.
Ditanya mengenai kriteria calon kekasih, anggota kumpulan De Fam itu tidak meletakkan sebarang syarat, sebaliknya menghargai serta ikhlas menyayanginya.
“Tiada pun ciri tertentu yang saya nak asalkan tahu menghargai saya, dapat membimbing serta sayang saya sepenuhnya.
“Dia juga sudah tentu bukan sahaja terima saya, tetapi juga dapat menerima keluarga terutama ibu bapa saya,” ujarnya.

Cuti panjang
Mengenai sambutan hari raya, Azira bersyukur dapat memanfaatkan lebaran dengan memperuntukkan masa bersama keluarga.
“Seperti Aidilfitri tahun lalu, saya ambil peluang bercuti seminggu sebelum raya sehinggalah masuk minggu kedua Syawal.
“Inilah masanya untuk kami seisi keluarga termasuk sepupu berkumpul. Cuma suasana agak berbeza selepas pemergian nenek yang kami panggil Encik dua tahun lalu.
“Apabila hilang insan kesayangan dalam keluarga, pasti terasa ketiadaan mereka. Apa pun raya kali ini kami raikan bersama-sama seisi keluarga.
“Bagi saya sendiri, minggu berikutnya tiba masa untuk kembali bekerja. Selain mempromosikan Tarung: Unforgiven, saya juga sibuk memenuhi jadual bersama De Fam,” katanya.
Mengenai watak sebagai Dahlia iaitu kakak kepada Badrul lakonan Zul Ariffin, katanya dia puas berpeluang memperkasakan wanita dalam naskhah terbitan Alpha47 Films dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu.
Akui Azira, digambarkan sebagai bijak serta bersemangat jitu, dia memasuki kelas lakonan bagi memastikan mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih baik.
Malah, dia berbesar hati apabila pengarah, Razaisyam Rashid turut memberi kebebasan untuknya mewarnakan watak Dahlia bagi menghidupkan karakter.
“Saya teruja sebaik membaca skrip kerana Dahlia digambarkan sebagai individu dinamik. Biarpun dikelilingi ramai lelaki, karakternya dominan,” katanya mengenai filem yang bakal ditayangkan pada 7 Mei ini.














