fbpx
Muhammad Hakim (kiri) memikul tanggungjawab besar untuk menjaga dan mengurus bapanya yang diserang strok sejak Januari lalu. – SADDAM YUSOFF

‘Saya perlu kuat demi ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG – Bulan Syawal yang sepatutnya menjadi detik kegembiraan buat seluruh keluarga terpaksa ‘dilupakan’ oleh seorang bapa selepas dia diuji dengan penyakit sehingga menjejaskan segala perancangan pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Bapa tunggal, Mohd. Hairuddin Selamat, 53, berkata, dia berdepan ujian besar selepas diserang strok ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 28 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba ketika dia memandu kereta untuk bertugas seperti biasa sebagai kakitangan awam di bawah Kementerian Pertahanan.

“Pagi itu saya keluar rumah untuk pergi kerja macam biasa. Saya ikut sahaja arah aplikasi navigasi, tetapi tidak tahu macam mana boleh sampai ke Kepong dan bukan ke tempat kerja.

“Sampai depan sebuah kedai makan, saya tidak perasan ada kereta yang parking lalu terlanggar sedikit. Masa itu tangan kiri saya rasa tak berfungsi dan badan pun jadi lemah,” katanya ketika ditemui.

Mohd Hairuddin berkata, selepas kejadian itu, dia sempat berehat di kawasan kedai makan tersebut sebelum seorang pemilik bengkel berhampiran membantunya menghantar kereta ke bengkel.

Namun keadaannya semakin lemah dan dia akhirnya tertidur di dalam kereta sehingga disedari orang sekeliling.

“Saya rasa sangat mengantuk. Saya baringkan kerusi kereta dan tidur. Rupanya dari tengah hari sampai malam saya masih dalam kereta.

“Polis datang selepas mene­rima laporan daripada orang ramai. Mereka kemudian panggil ambulans dan saya dibawa ke hospital,” katanya.

Mohd. Hairuddin yang telah berkhidmat selama 31 tahun di TUDM Subang berkata, dia terpaksa dirawat selama kira-kira tiga minggu di hospital kerana tidak mampu duduk atau bergerak seperti biasa.

Sepanjang tempoh tersebut, anak bongsunya, Muhammad Hakim Mohd Hairuddin, 17, yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi individu yang paling banyak menjaganya di hospital.

Katanya, dia reda dengan dugaan yang menimpa dirinya dan berharap dapat kembali sihat demi melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

“Apa nak buat, ini dugaan saya. Saya cuma kasihan pada anak-anak sebab raya tahun ini saya tidak sempat buat apa-apa untuk me­reka,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Hakim berkata, dia terpaksa berhenti daripada kerja sambilan untuk menjaga bapanya.

“Saya memang terkejut sebab tidak pernah jaga orang sakit sebelum ini. Tapi saya kena kuat sebab ayah perlukan bantuan,” katanya.

Menurutnya, mereka tiga beradik bergantung kepada pendapatan yang sangat terhad selepas bapanya tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.

Bercerita lanjut, Muhammad Hakim berkata, kakak sulungnya kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Pagoh dalam bidang Bahasa Inggeris, manakala abang kedua bekerja sambil belajar di sebuah akademi.

Tambahnya, sebelum ini ­keluarga­ mereka telah diuji dengan kehilangan ibu, Hasnah Shaari pada tahun 2018 selepas wanita itu meninggal dunia akibat komplikasi kemalangan motosikal.

“Awal-awal dulu memang terkejut bila mak pergi. Tapi ayah yang uruskan semuanya untuk kami.

“Kami harap ayah dapat sembuh dan kuat semula macam dulu supaya keluarga kami boleh kembali seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Mohd. Hairuddin bernombor 162478076491 atau hubungi anaknya, Muhammad Hakim menerusi nombor 018-206 8374.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN