KUALA TERENGGANU – Majlis pertunangan yang dirancang antara Mohamad Shahrin Mohd, 33, dan Ain Sofea Aminu Nansar, 25, semalam bertukar menjadi kenduri tahlil berikutan kematian lelaki tersebut akibat nahas jalan raya pada hari sama.
Abang arwah, Mohamad Hafiz, 36, berkata, keluarganya dan keluarga Ain Sofea Aminu bersepakat begitu berikutan kemalangan meragut nyawa arwah adiknya pada pukul 7.30 pagi.
“Memandangkan semua persiapan termasuk hidangan telah dilakukan, majis pada pukul 3 petang (semalam) itu tetap kami teruskan tetapi ditukar kepada kenduri tahlil. Keluarga saya juga tambah beberapa hidangan lain pada majlis yang berlangsung di rumah bakal tunang adik saya (Ain Sofea Aminu) di Manir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Mohamad Shahrin yang merupakan nelayan maut setelah motosikal jenis Honda Beat ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan di Jalan Kampung Duyong di sini pada pukul 7.30 pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE














