KOTA TINGGI – Penugasan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan adalah tertakluk sepenuhnya kepada mandat misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL)
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai pasukan pengaman di bawah United Nations (UN), sebarang tindakan termasuk operasi, pergerakan dan penugasan anggota tidak boleh dibuat secara unilateral oleh Malaysia.
“Apabila kita menyertai misi, struktur pemerintahan dan keputusan operasi berada di bawah UNIFIL. “Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri termasuk menarik keluar pasukan tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi semasa di Lubnan yang menyaksikan beberapa insiden melibatkan pertemuan tidak dirancang antara anggota Malbatt dan pihak lain termasuk pasukan Israel Defense Forces (IDF).
Bagaimanapun, beliau menegaskan, tiada sebarang insiden buruk berlaku setakat ini dan keadaan masih terkawal.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.
“Jika situasi memerlukan, kita boleh mengambil langkah seperti mengehadkan pergerakan atau mengarahkan anggota berada di dalam kubu (bunker), namun semuanya perlu selaras dengan garis panduan UNIFIL,” ujarnya.
Ketika ini, lebih 500 anggota Malbatt ditempatkan di Lubnan sebagai sebahagian misi pengaman antarabangsa.
Walaupun tertakluk kepada mandat antarabangsa, kerajaan akan terus memantau perkembangan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anggota sentiasa diberikan keutamaan.
Sebelum ini Mohamed Khaled dilaporkan berkata, tiada anggota Malbatt 850-13 yang cedera dalam insiden letupan yang dilaporkan berlaku berhampiran kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan.
Kejadian itu berlaku susulan ketegangan antara IDF dan Hezbollah di kawasan terbabit.-KOSMO! ONLINE














