GERIK – Taklimat khas melibatkan pemimpin negeri dan parti politik bagi membincangkan implikasi susulan ketidaktentuan di Asia Barat disifatkan sebagai platform terbaik untuk menyuarakan pelbagai perkara yang menjadi keutamaan rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif tersebut juga dilihat mampu membuka ruang perbincangan lebih menyeluruh dan berkesan.
Malah katanya, dalam situasi negara berdepan cabaran global, pelbagai pihak menantikan perancangan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Saya kira dengan keadaan peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir, ia secara langsung memberi kesan kepada rakyat terutama apabila peningkatan kos sara hidup yang dirasai ketika ini dijangka membawa kesan besar.
“Keadaan ini tentunya memerlukan intervensi daripada kerajaan dan bagi pihak UMNO, kami akan memanfaatkan pertemuan bersama Perdana Menteri pada minggu depan untuk mengemukakan cadangan.
“Cadangan-cadangan yang akan dikemukakan nanti adalah supaya setiap tindakan dan perancangan memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor di Dewan Arena Dato’ Hasbullah, di sini hari ini.
Beliau berkata, UMNO akan memainkan peranan sebagai jurubicara atau lidah penyambung dalam menyuarakan segala isu dihadapi rakyat ketika ini.
“Sebab itu saya katakan platform minggu depan adalah yang terbaik dalam kita menyuarakan apa sahaja yang menjadi keutamaan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas gesaan pembangkang untuk Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan kesan peperangan tersebut terhadap Malaysia, beliau berkata, ketika ini keutamaan adalah tindakan segera, bukannya perbincangan atau persidangan.
“Paling penting, kita mahu mengetahui tindakan segera kerajaan kerana kesannya sudah dirasai rakyat dan perkara itu jauh lebih mustahak daripada perbalahan di Parlimen,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE














