IPOH – Pakej rangsangan ekonomi berpotensi untuk diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat ketika ini susulan konflik di Asia Barat.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada pemantauan kerajaan berhubung konflik yang timbul ekoran peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
“(Pakej rangsangan) bergantung kepada berapa dampak keadaan semasa perang AS-Iran. Kerajaan pada setiap minggu akan bermesyuarat dan daripada situ keadaan semasa akan terus dipantau.
“Kita akan merencana apakah inisiatif ataupun pendekatan ekokomi seperti pakej rangsangan yang boleh diperkenalkan bagi kelangsungan ekonomi rakyat di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap sebelum merasmikan Program Satelit: Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) 2.0 Peringkat Negeri Perak 2026 di sini.
Muhammad Kamil berkata, keadaan ekonomi ketika ini masih lagi terkawal, dengan kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu meringankan beban rakyat.
Antaranya, ujar beliau, ialah pemberian subsidi bahan api dan penstrukturan berkaitan dengannya serta langkah-langkah penjimatan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan bersedia mendengar pandangan dari semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung krisis dihadapi ketika ini.
“Saya fikir tidak wajar pemimpin daripada kerajaan sahaja. Maksudnya seluruh jentera sama ada kerajaan dan pemimpin pembangkang harus duduk bersama untuk diberi taklimat tentang apa sebenarnya yang berlaku.
“(Seterusnya) berbincang dan diminta pandangan mereka untuk berkongsi jalan penyelesaian. Cadangan yang baik itu boleh dipertimbangkan kerajaan.
“Itu sebenarnya sikap yang ingin dipamerkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya fikir tidak ada halangan atau alasan bagi mana-mana pemimpin politik untuk terima atau turut serta dalam perbincangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














