fbpx
StarDream Cruises memberi jaminan bahawa perairan yang dilalui kapal persiaran miliknya termasuk di Laut China Selatan dan Selat Melaka adalah selamat meskipun dunia berdepan dengan krisis perang melibatkan negara Timur Tengah ketika ini. 

‘Keselamatan penumpang paling utama, kami takkan kompromi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINGAPURA – Syarikat pelayaran terkemuka, StarDream Cruises memberi jaminan bahawa perairan yang dilalui kapal persiaran miliknya termasuk di Laut China Selatan dan Selat Melaka adalah selamat meskipun dunia berdepan dengan krisis perang melibatkan negara Timur Tengah ketika ini. 

Presidennya, Michael Goh berkata, dengan lebih 30 tahun pengalaman di Asia, syarikat berkenaan sentiasa memastikan keselamatan orang ramai berada di kedudukan paling atas sebelum beroperasi. 

“Keselamatan (penumpang) sememangnya menjadi prioriti utama kami sejak syarikat ini ditubuhkan. Kami tidak akan berkompromi tentang hal itu. 

“Sejak 30 tahun beroperasi, kami mempunyai rekod prestasi yang amat baik. Dengan itu, keyakinan para pelanggan akan terus ada bersama kami sebelum berlayar,” katanya kepada Kosmo! Online pada acara Pameran Jenama StarDream Cruises di sini, kelmarin. 

StarDream Cruises juga belum melihat kesan segera peningkatan kos bahan api di lokasi syarikat pelayaran tersebut beroperasi, susulan peningkatan harga minyak mentah akibat konflik di Asia Barat. 

Michael berkata, pihaknya menyerap sebahagian peningkatan kos di sesetengah lokasi dengan pelaksanaan subsidi demi keselesaan pengunjung.

Beliau mengakui krisis yang berlaku memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan dan perkara itu dapat dilihat apabila kebanyakan syarikat penerbangan dan pelayaran mengenakan surcaj bahan api atau menaikkan harga tambang bagi menampung kos.

“Bagi kami, kapal beroperasi di pelbagai pelabuhan asal seperti Singapura, Taiwan dan Hong Kong. Apabila kami mengenakan surcaj bahan api, kami sangat telus kepada pelanggan.

“Kami ingin jelaskan bahawa caj berbeza mengikut lokasi, bergantung kepada kos sebenar yang ditanggung. Malah, di sesetengah lokasi, kami turut menanggung sebahagian kos tersebut dengan subsidi,” katanya. 

Bagaimanapun, StarDream melihat krisis  memberi peluang baharu iaitu pelancong yang merancang perjalanan jarak jauh mungkin mengubah rancangan kepada destinasi lebih dekat seperti Singapura, Taiwan atau Hong Kong.

“Kami menawarkan pilihan destinasi yang menarik, jadi walaupun berdepan krisis, masih terdapat peluang,” ujarnya.

Terdahulu, StarDream Cruises memperkenalkan pelbagai hiburan dan sorotan kulinari untuk meraikan ulang tahun ke-10 jenama Dream Cruises.

Syarikat pelayaran antarabangsa ini, yang mengendalikan armada terbesar yang kini belayar merentasi Asia, menawarkan pelayaran di kapal utamanya Genting Dream, Star Navigator dan Star Voyager dan kini ia menggandakan strategi yang diinspirasikan oleh rantau untuk menghubungkan pelancong ke lebih 50 destinasi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Timur.

Bagi menyambut ulang tahun ke-10 Dream Cruises tahun ini, para penumpang boleh menantikan sorotan istimewa di atas kapal serta pengalaman perayaan yang meriah, di samping persembahan baharu yang menarik termasuk kumpulan K-pop KIIRAS, Amotti dari Physical: 100, dan Chef Tommie Lee (juga dikenali sebagai French Papa) dari Culinary Class Wars Musim 2. 

Pada bulan Jun 2026, Genting Dream akan menganjurkan penampilan sulung Forever Broadway, satu kolaborasi dengan Broadway Asia International yang diilhamkan di New York.

Michael berkata, dengan pengalaman lebih tiga dekad di Asia, pihaknya memahami rantau ini dan apa yang paling dihargai oleh tetamu  semasa mereka melancong.

“Hari ini, kami belayar ke lebih 50 destinasi di seluruh Asia, menghubungkan tetamu dengan pelbagai tempat dan pengalaman di luar kapal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN