TAIPING – Misteri kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Hospital Taiping terungkai apabila keputusan bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan serius di kepala dan leher dipercayai akibat objek tumpul.
Dalam kejadian pada 26 Mac lalu, mangsa tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 12.43 tengah hari sebelum diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.12 tengah hari. Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh kanak-kanak itu sebelum bedah siasat dilakukan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pihaknya menahan empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 27 hingga 53 tahun yang juga ahli keluarga mangsa.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif dan punca sebenar kejadian. – KOSMO! ONLINE














