KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan, tiada ruang untuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukan kesilapan berulang jika ingin menjulang kemenangan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini.
Penggunaan analisis video secara terperinci bagi ‘membedah’ kelemahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan digunakan bagi memastikan pasangan No. 1 negara itu tampil lebih konsisten, sekali gus mempertahankan gelaran dimenangi di venue sama tahun lalu.
Menurut Herry, penilaian menerusi rakaman video memberi gambaran lebih jelas terhadap kesilapan yang sering dilakukan, khususnya ketika situasi genting dalam perlawanan.
“Biasanya sebelum kejohanan, kita akan buat analisis melalui video perlawanan terdahulu. Untuk Aaron-Wooi Yik, terutama pada set ketiga, di situ kita lihat sering berlaku kesilapan.
“Kita ulang dan lihat semula supaya mereka faham di mana kelemahan dan apa yang perlu diperbaiki. Jika kita lihat sebelum ini mereka berdua agresif untuk menamatkan permainan awal bagi mengutip mata.
“Jadi, kita akan lihat kelemahan daripada rakaman video sebelum ini agar mereka faham kesilapan itu tidak boleh berulang di BAC terutama berdepan lawan yang sama. Melalui video, mereka boleh lihat dan lebih faham,” katanya.
Herry berkata, pendekatan visual lebih berkesan berbanding arahan lisan kerana pemain bukan sahaja mendengar, tetapi turut melihat sendiri kesilapan yang dilakukan.
Mengulas cabaran di Ningbo, Herry mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak terlalu memikirkan laluan ke final, sebaliknya memberi fokus kepada setiap perlawanan.
“Jangan pandang terlalu jauh. Setiap pusingan perlu dihadapi dengan fokus kerana semua lawan bukan mudah,” katanya.
Aaron-Wooi Yik dijadual membuka kempen menentang gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin pada pusingan pertama.
Cabaran turut dijangka hadir dari Korea Selatan, China dan Indonesia yang sentiasa menjadi pencabar utama dalam kejohanan berprestij itu.
Untuk rekod, pasangan No. 2 dunia itu mencipta sejarah apabila muncul juara Asia buat kali pertama tahun lalu selepas menewaskan gandingan China, Chen Bo Yang-Liu Yi di pentas final.














