KUALA LUMPUR – Atlet berbasikal trek para wanita negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri mempamerkan kayuhan bertenaga apabila meraih pingat emas menerusi acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina hari ini.
Pada aksi final kategori B (kecacatan penglihatan) di Velodrom Tagaytay City itu, dia berjaya mengetepikan cabaran pelumba Kazakhstan, Kalaus Anastassiya menerusi kemenangan bergaya 2-0.
Tambah manis, seorang lagi atlet negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais turut memastikan pingat gangsa menjadi milik Malaysia selepas menewaskan satu lagi pelumba Kazakhstan, Zhantore Moldir 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami Mohd. Khairul Hazwan Wahab yang beraksi dalam kategori lelaki B apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 1-2 kepada atlet Jepun, Kimura Kazuhei.
Pingat gangsa acara tersebut pula dimenangi Nur Fendi dari Indonesia yang menewaskan pelumba Kazakhstan, Seitzhan Kenzhegul dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Sementara itu, pelumba elit wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir kempunan untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat perak perlumbaan mata yang dimenangi tahun lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Pada aksi final itu, dia sekadar mengutip 15 mata, jauh berbeza dengan tiga pelumba teratas, iaitu Kozieza Nafosat (37 mata) dari Uzbekistan, Elizabeth Le Min Liau (35 mata) dari Singapura serta pelumba Hong Kong, Leung Wing Yee (34 mata). – KOSMO! ONLINE














