PETALING JAYA – Sebanyak dua buah rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan PJS 2D/12, Taman Medan di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.34 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan dua rumah jenis kelas A dengan anggaran keluasan 20×30 kaki persegi setiap satu.
“Rumah pertama terbakar kira-kira 80 peratus, manakala rumah kedua mengalami kebakaran sekitar 50 peratus.
“Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala dengan bantuan BBP Petaling Jaya dan BBP Subang Jaya.
“Sebanyak tiga jentera FRT, satu LFRT, satu EMRS dan satu Water Tanker digunakan dalam operasi tersebut.
“Kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














