PETALING JAYA – Fenomena panic buying (pembelian panik) dilaporkan semakin menular di kalangan pengguna media sosial, apabila ramai mula membuat persediaan stok makanan dan keperluan harian susulan kebimbangan kenaikan harga barang.
Perkongsian di platform Threads menunjukkan trend ini mendapat perhatian ramai, terutama mereka yang ingin bersiap sedia menghadapi kemungkinan kekurangan stok atau kenaikan harga barangan susulan kenaikan mendadak harga bahan api akibat konflik Asia Barat.
Pengguna @alisfariz menyarankan orang ramai supaya bersiap sedia dari awal dengan mencukupkan barangan keperluan di rumah.
“Bersiap sedia apa yang patut. Saya sampaikan je, tak nak terima sudahlah, cuma beritahu bersiap sedialah apa yang patut, sekarang nak beli barang pun dah ade limit (had) jadi tak salah kongsi sekarang dari kehabisan bekalan nanti. Kalau panik satu pusat membeli belah saya beli dah,” katanya.
Sementara itu, @fitryyei mendedahkan persiapan keluarganya yang sudah membeli sejumlah besar keperluan harian.
“Mak aku dah beli 50kg (kilogram) beras, minyak masak, lilin berkotak-kotak dengan mancis. Ada karang aku tanam sayur belakang rumah ni,” katanya.
Bagi pengguna @azuhrisam, tindakan membeli stok bukan semata-mata kerana risau kehabisan barang, tetapi juga strategi menghadapi kenaikan harga.
“Rate pre-war foodbank aku out of 10 (Nilaikan foodbank aku sebelum perang daripada 10)! Jangan panik, beli sedikit je. Kebanyaka pilihan barang yang aku beli jenis tahan sekurangnya satu hingga dua tahun.
“Beli ni bukan risau bekalan habis, lebih kepada nak beli harga sekarang. Siapa tahu untuk bulan 5 harga mencanak. Formula standard, minyak naik = semua barang harga naik,” katanya.
Persiapan untuk keluarga juga menjadi faktor utama bagi @mimiefahmee membuat beberapa pembelian awal barangan keperluan untuk disimpan di rumah ekoran jangkaan harga barang akan naik susulan kenaikan berterusan harga minyak global.
“Saya dan suami pun dah beli stok. Sbbkan anak ada empat orang jadi memang buat persiapan awal. Seba takut harga mencanak. Kebanyakan pilih barang yang memang budak makan.
“Tepung boleh jadi cucur, pancake, roti jala. Makaroni boleh goreng, bakar, buat sup. Daging kurma dalam tin boleh jadi lauk, boleh juga masak nasi daging. Macam itu la pemilihan makanan saya. Satu makanan boleh dipelbagai masakan,” jelasnya.
Selain itu, ada juga pengguna yang mengamalkan pembelian secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.
“Pelan-pelan kumpul koleksi. Sediakan payung sebelum hujan. Seterusnya misi cari stok air. Saya beli sikit-sikit ikut kemampuan. Terima kasih yang bagi cadangan dan idea untuk barang-barang yang lain. Sesiapa yang ada cadangan boleh kongsi,” kata @amalina_aida. – KOSMO! ONLINE














