JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang juga penghidap HIV dan leukemia dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan dikenakan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU), Januari lalu.
Hakim Madihah Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, 39, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun yang mana tertuduh tahu wanita berkenaan mempunyai kecacatan fizikal iaitu kecacatan pendengaran, pertuturan dan lembam pembelajaran ketika kejadian berlaku.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Jaya Mas, Skudai di sini, kira-kira jam 11.50 malam, 30 Januari lalu dan kes mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz secara probono.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Omar Kutty memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mohon maaf atas keterlanjurannya dan insaf di atas perbuatan yang dilakukan.
Dalam hujah pemberatan, Nor Fadilah memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam iaitu mangsa yang merupakan pemegang kad OKU melebihi kepentingan tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan itu berserta tambahan tertuduh perlu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta menjalani pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE














