PORT DICKSON – Pasukan bomba terus bertungkus-lumus menjalankan operasi memadam kebakaran seluas 20.235 hektar kawasan ladang di Kampung Tanjung Agas, di sini, dipercayai berpunca dari longgokan sisa pokok sejak semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4.18 petang semalam dan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang serta Rantau dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Pada hari pertama kebakaran melibatkan kebun sawit berkeluasan anggaran 6.88 hektar dengan keadaan api secara bertompok-tompok.
“Manakala, pada hari ini pula, pemadaman dilakukan secara pecahan sektor B dan C dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu parit. Malah,
teknik batas api/sekat bakar menggunakan excavator untuk kawasan seluas 12.14 hektar juga digunakan.
“Selain itu, jajaran baru batas api parit seluas tiga meter menggunakan excavator sepanjang 300 meter juga digunakan dengan anggaran luas kebakaran 20.235 hektar. Sehingga kini, peratus pemadaman adalah sekitar 70 peratus,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE














