GERIK – Lebih 1,000 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir akan diwujudkan menerusi pembangunan kilang peleburan bijih timah Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. di Klian Intan, Pengkalan Hulu di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan kilang peleburan bijih timah di Pengkalan Hulu itu bukan hanya pelaburan semata-mata.
“Malah, ia turut membuka peluang pekerjaan, menggerakkan ekonomi setempat dan memberi harapan baharu kepada rakyat khususnya di Pengkalan Hulu.
“Lebih 1,000 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir diwujudkan dan majoritinya untuk anak tempatan menerusi pembangunan kilang ini,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Peleburan Bijih Timah Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. di Klian Intan, Pengkalan Hulu di sini.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, timah amat penting dalam pembuatan komponen elektronik, termasuk dalam sektor kenderaan elektrik dan teknologi kecerdasan buatan.
Katanya, permintaan dunia terhadap timah kekal tinggi, dengan penggunaan melebihi 350,000 tan setahun.
“Inilah yang kita mahukan. Pelaburan yang memberi manfaat terus kepada rakyat. Kita bina ekonomi, dalam masa yang sama pastikan kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan untuk majukan negeri ini diiringi dengan keberkatan-Nya agar Perak terus melangkah, makmur dan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














