fbpx
Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI

Konflik Asia Barat: Taklimat khas MKN, MTEN minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan akan menghimpunkan semua pemimpin negeri dan parti politik dalam taklimat khas bagi membincangkan isu implikasi ketidaktentuan konflik di Asia Barat minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, taklimat itu akan disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Jelas beliau, perbincangan secara bersama itu meliputi langkah dalam menjamin kemampanan ekonomi dan keselamatan dalam negara ini.

“Kita bersyukur kepada Allah kerana masalah yang dihadapi ketika ini tidak serumit negara jiran lain dan belum ada catuan atau kenaikan mendadak RON 95.

“Tetapi tempiasan dan kesan ekonomi itu sesuatu yang nyata. Minggu depan Insya Allah saya akan panggil semua Menteri Besar, Premier, Ketua Menteri dan pemimpin parti politik termasuk pembangkang untuk mendengar sendiri satu taklimat khas,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini, petang ini.

Menurut Anwar, beliau turut telah berbincang panjang dengan Presiden Iran, Perdana Menteri Qatar dan Presiden Mesir dalam memberi sokongan supaya langkah ke arah kedamaian dicapai.

“Tapi kita juga faham prinsip. Jangan kita lupa bahawa permulaan keganasan itu adalah daripada Israel dan Amerika Syarikat yang menyerang Iran.

“Jadi, biar perdamaian itu kekal dan adil bagi semua. Saya juga berterima kasih kepada Presiden Iran yang mengarahkan pelepasan kapal minyak Petronas dan syarikat Malaysia di Teluk Hormuz,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas cadangan pembangkang berhubung sidang khas Dewan Rakyat, beliau berkata, ia akan diadakan selepas satu rancangan konkrit diwujudkan.

“Kita bincang dulu dengan pemimpin besar dan parti politik bagi mengadakan sidang berkenaan.

“Biar ada perencanaan dan apa rancangan kita mengatasinya. Kemudian bila ada, kita boleh bincang secara konkrit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN