PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, Indonesia hari ini sempena lawatan khas bagi membincangkan perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan tersebut juga memberi fokus untuk mengukuhkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Indonesia
“Insya-Allah, pertemuan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membincangkan perkembangan konflik Asia Barat yang kian meruncing, serta implikasinya terhadap kestabilan serantau dan ekonomi global, termasuk kesannya kepada Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Lawatan kerja terakhir Anwar ke negara jiran itu berlangsung Julai tahun lalu, antara lain bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Prabowo, yang juga sesi pertama antara kedua-dua pemimpin tersebut.
Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu juga akan menegaskan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai satu blok yang bersatu dan berprinsip, selain keupayaan bertindak secara kolektif dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Katanya, ia juga penting bagi menjamin daya tahan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global. – KOSMO! ONLINE














