PETALING JAYA – Hasrat sebuah keluarga untuk menikmati pengalaman ‘glamping’ bertukar kecewa apabila khemah yang ditempah didakwa berada dalam keadaan berkulat selain pengurusan premis gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh @Geralynnkong, pelanggan tersebut memaklumkan mereka membuat keputusan untuk mendaftar keluar tanpa bermalam selepas melihat keadaan khemah yang tidak memuaskan.
Menurutnya, tempahan berharga lebih RM1,300 semalam itu turut berdepan masalah apabila berlaku pertindihan tempahan yang berpunca daripada kesilapan pihak pengurusan.
“Pada awalnya kami hampir diminta untuk membatalkan atau menukar tarikh pada saat akhir kerana berlaku overbooking,” katanya.
Tambahnya, keadaan khemah yang disediakan pula didakwa mempunyai kesan kulat dan kulapuk yang jelas di beberapa bahagian, sekali gus menimbulkan kebimbangan lebih-lebih lagi kerana mereka membawa anak kecil.
Dakwanya lagi, pihak pengurusan tidak menunjukkan rasa tanggungjawab apabila isu tersebut dibangkitkan, malah mereka seolah-olah dipersalahkan kerana tidak memaklumkan lebih awal mengenai kehadiran bayi.
“Tiada sebarang tindakan segera atau penyelesaian ditawarkan. Walaupun kami sudah keluar tanpa menginap, tiada juga usaha untuk memberikan pampasan,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, pelanggan itu mendakwa anaknya mengalami mata merah dan keradangan sejurus selepas meninggalkan lokasi berkenaan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang turut meluahkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan serta keselamatan premis penginapan.
Seorang pengguna, @Elzairdalyana menyifatkan keadaan itu sebagai tidak boleh diterima memandangkan harga yang dikenakan.
“RM1,300 satu malam tetapi khemah berkulat? Di mana ‘glam’ dalam glamping? Tapak perkhemahan biasa pun tidak ada kulapuk seperti itu. Ini memang tidak boleh diterima dan anda berhak mendapat pampasan penuh,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Afiqolah turut menegaskan bahawa masalah kulapuk boleh menjejaskan kesihatan.
“Kulapuk dalam bilik merupakan risiko kesihatan yang serius, daripada masalah pernafasan hingga alahan. Saya harap anda membawa anak ke klinik supaya ada laporan perubatan rasmi daripada doktor,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE














