KUALA LUMPUR – Pengarah juga penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam mengakui sudah ‘merisik’ dua pelakon, Que Haidar dan Nur Fazura untuk digandingkan dalam sebuah filem baharu tahun ini.
Mewakili rumah produksinya Skop Production, Yusof, 71, berkata filem tersebut dijangka menjalani penggambaran sekitar hujung tahun ini namun semuanya masih berada di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Insya-Allah saya akan ambil Que untuk berlakon dalam sebuah filem akan datang dan nak gandingkan dengan wanita yang rapat dengannya ketika ini iaitu Fazura.
“Insya-Allah perancangannya adalah mulakan penggambaran pada hujung tahun ini.
“Skrip dan persiapan sudah dibuat cuma apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah semua itu masih lagi rahsia,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Malaikat Malam semalam.
Yusof juga sudah berbincang dan mendapat respons positif daripada Que serta Fazura berhubung perancangan tersebut.
“Saya baru jumpa tadi (di majlis tayangan perdana semalam dan kata nak beri tawaran berlakon kepada mereka.
“Reaksi mereka setakat ini juga positif. Mereka terbuka untuk berbincang nanti.
“Walaupun belum bersetuju dan masih berbincang tapi insya-Allah mereka akan terbuka serta suka dengan tawaran ini. Lagi pula mereka pun dah lama tak berlakon,” ujarnya lagi.
Semalam, Que yang juga salah seorang pelakon Malaikat Malam dilihat turut ditemani Fazura yang hadir memberikan sokongan kepadanya.
Selain Que, Malaikat Malam yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed dan Amir Nafis.
Terdahulu, kemesraan hubungan Que dan Fazura menjadi bualan ramai selepas kedua-duanya dilantik sebagai dita dan bekerjasama mempromosikan sebuah jenama tesktil tempatan.
Lebih menghangatkan spekulasi, dia juga pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain mereka turut dilihat mengunjungi bazar Ramadan bersama baru-baru ini.
Hubungan mesra mereka turut membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu selain tercetus tanda pagar #QuelaFaz. – KOSMO! ONLINE














