LUMUT – Polis Perak berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 20.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.01 juta di kawasan Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bertindak atas maklumat kira-kira pukul 9 malam semalam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Manjung dan Balai Polis Pangkor telah menjumpai satu bungkusan guni di tepi kawasan pantai tersebut.
“Hasil pemeriksaan di dalam guni tersebut telah menjumpai 20 bungkusan plastik disyaki dadah jenis ketamine anggaran berat 20,200 gram.
“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1,010,000. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Noor Hisam berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada kerjasama orang awam. – KOSMO! ONLINE














