SUNGAI BULOH – Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan waris seorang lelaki warga asing yang ditemui maut berhampiran landasan kereta api di Kilometer 365.75 laluan Sungai Buloh menghala ke Kuang, 19 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Balai Kuang, Sarjan Merjar Rosli Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah.
“Lelaki lingkungan usia 30-an itu dipercayai dilanggar kereta api kira-kira dua meter dari landasan naik Keretapi Tanah Melayu laluan Sungai Buloh ke Kuang,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh hubungi di talian 017-6535782 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














