MELAKA – Seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membelasah isterinya yang sedang hamil, dua minggu lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, yang mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Azhiimah Abd. Razak, 20, dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala mangsa.
Tertuduh juga didakwa menampar muka, memukul kepala dan menolak mangsa sehingga jatuh.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.59 pagi dan 4.06 pagi masing-masing di kaki lima serta dalam premis K Games Family Karaoke Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah, pada 15 Mac 2026.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa tampil membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anak perempuannya yang keluar rumah bersama bayi lelakinya berusia setahun dua bulan.
Ibu mangsa kemudian bertindak memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis pusat karaoke berkenaan dan mendapati tertuduh bertindak memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring dengan motosikal.
Mangsa dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans dan dirawat di Zon Merah dan suspek berjaya ditahan empat hari kemudian.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesal dengan perbuatannya, manakala ibunya mengalami strok.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor tertuduh adalah suami kepada mangsa, individu yang sepatutnya melindungi isterinya, selain kejadian berlaku ketika wanita itu sedang hamil.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Mac 2026.-KOSMO! ONLINE














