PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen menegaskan, tempat dalam skuad lelaki negara masih terbuka dengan tempoh beberapa minggu ini bakal menjadi penentu.
Pengendali dari Denmark itu berkata, prestasi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bulan depan bukanlah satu-satunya kriteria yang ditetapkan kerana beliau juga mahu melihat komitmen daripada pemain.
Justeru, beliau mengakui akan membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan pemain mana yang bakal disenaraikan dalam skuad kebangsaan bagi menggalas misi Malaysia di Piala Thomas.
Selepas aksi terakhir pada Orleans Masters minggu lalu, Jonassen menjelaskan, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pemain negara, terutamanya dari segi kecergasan dan fizikal.
“Pada Orleans Masters sebelum ini, kita boleh katakan prestasi ada naik turun. Sebagai pasukan, banyak perkara yang kami belajar daripada kejohanan tersebut dan dapat membantu kami untuk terus meningkat.
“Saya juga mahu melihat dedikasi serta kerja keras pemain dalam tempoh beberapa minggu ini untuk pemilihan ke Piala Thomas, bukan hanya bersandarkan prestasi di BAC semata-mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Setakat ini, hanya pemain profesional, Lee Zii Jia boleh dianggap berada dalam skuad negara bagi acara perseorangan, manakala pemain-pemain seperti Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Ng Tze Zong perlu bersaing bagi mendapatkan tempat.
Sementara itu, Jonassen percaya semua pemain akan memanfaatkan setiap masa yang ada bagi memperbaiki corak permainan masing-masing sebelum menggalas tanggungjawab pada saingan BAC bermula 7 hingga 12 April nanti.
“Saya yakin semua pemain akan memanfaatkan masa yang ada bagi menjalani latihan intensif dengan fokus meningkatkan tahap fizikal. Selain itu, mereka juga akan memperbaiki permainan masing-masing,” ujarnya.














