PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas selain memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut Seri Paduku Baginda, fenomena cuaca panas dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun, sekali gus memerlukan langkah berjaga-jaga secara berterusan.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menegaskan peranan Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengambil perhatian serius terhadap situasi ini.
Titah Seri Paduka Baginda, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kesihatan murid dan pelajar tidak terjejas akibat cuaca panas melampau.
Pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut diingatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan risiko kebakaran yang dijangka meningkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka kerana keadaan panas dan berangin boleh mempercepatkan merebaknya api,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah, golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik perlu mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan yang tidak diingini.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada agensi keselamatan dan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta petugas kesihatan.
“Komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan keselamatan rakyat sepanjang tempoh cuaca panas amat dihargai,”titah baginda- KOSMO! ONLINE.














