PETALING JAYA – Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi menjernihkan keadaan, penyanyi Nourul Depp mengakui hubungannya dengan anak sulung iaitu Ayu Nazirah masih belum menemui jalan perdamaian.
Menyifatkan konflik tersebut sebagai sesuatu yang sangat melukakan, Nourul atau nama lengkapnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, mendakwa kewujudan pihak luar yang cuba mencampuri urusan keluarga mereka menjadi punca utama hubungan tersebut terus renggang.
“2022 bukanlah tahun yang mudah untuk saya, manakala 2023 pula paling mencabar apabila perniagaan terjejas.
“Namun yang paling merobek hati adalah apabila ada pihak ketiga yang memberi idea kepada anak kita.
“Kita tak mampu mengawal perkara itu. Anak mempunyai kehidupan sendiri dan ingin meneroka, itu saya faham.
“Namun apabila ada pihak luar yang menghasut demi kepentingan sendiri, itu yang menimbulkan kemarahan,” katanya dalam sebuah audio siar.
Lebih memilukan, pelantun lagu Kerana Terluka itu mengakui usahanya untuk merapatkan kembali jurang kasih sayang seolah-olah tidak mendapat sambutan terutama ketika dia sedang bergelut dengan masalah kesihatan.
“Saya sudah berusaha sedaya upaya termasuk ketika menjalani pembedahan. Namun, respons yang diterima hanya semoga cepat sembuh’.
“Itu bukan lagi layanan antara anak dengan ibu. Saya serahkan segalanya kepada Allah.
“Sebagai ibu bapa, kita akan rasa sakit walaupun anak terluka sedikit,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nourul menyerahkan segalanya kepada Allah sepanjang menghadapi kemelut berkenaan.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Sebagai ibu bapa, kita akan rasa sakit walaupun anak terluka sedikit.
“Kita tidak mahu mereka kecewa, tetapi dalam masa sama perlu membiarkan mereka belajar daripada pengalaman.
“Jika ingin belajar tentang kehidupan, tiada masalah. Namun, jangan sampai memutuskan hubungan,” jelasnya.
Sebelum ini, Nourul pernah memberikan gambaran hubungan dingin dengan anaknya tetapi tidak menyatakan punca sebenar kemelut terbabit berlaku.
Dia juga pernah meluahkan rasa rindu terhadap puteri sulungnya yang kini berusia 28 tahun itu.
Ayu merupakan zuriatnya bersama Ajai, namun mereka berpisah pada 2007 dan lima tahun kemudian penyanyi itu bertemu jodoh pula dengan warga Perancis, Eric Daniel Depp.
Menerusi perkahwinan kedua, kehidupan Nourul diserikan tiga cahaya mata, Zachary Depp, 13, Raphael Depp, 11, dan Isabella Depp, tujuh tahun. -KOSMO! ONLINE














