PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) ketika menjalankan tugas di sempadan Malaysia-Brunei Darussalam akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia, semalam.
Mangsa, Donysius Gebrial Goh dari Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, ditemui di sungai kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri ketika itu sedang melaksanakan tugas rasmi penandaan serta pengukuran sempadan darat antarabangsa Malaysia-Brunei.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kehilangan mangsa amat meruntun jiwa, apatah lagi dia meninggalkan seorang isteri serta dua anak berusia 12 dan 10 tahun.
“Pihak kementerian akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan moral disalurkan sebaik mungkin kepada keluarga mangsa,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam atas kerjasama sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, antara yang terlibat ialah Pasukan SAR Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei serta Tentera Gurkha.
Katanya, Tentera Udara Diraja Brunei menyediakan helikopter bagi membawa keluar jenazah dari kawasan sukar diakses, manakala Pasukan Polis Diraja Brunei dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) Bandar Seri Begawan membantu proses forensik.
“Terima kasih juga kepada Jupem, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini proses pengecaman dan dokumentasi sedang dijalankan sebelum jenazah dibawa pulang ke Malaysia selepas semua prosedur di Brunei Darussalam selesai.
“Segala jasa dan khidmat bakti mangsa akan sentiasa dikenang,” katanya.
Dalam kejadian pada 17 Mac lalu, mangsa bersama lima lagi petuga Jupem dilaporkan bergerak dari kem asas ke kawasan sungai berkenaan bagi menjalankan aktiviti riadah.
Sekitar pukul 8.30 malam, arus sungai menjadi deras susulan hujan lebat sebelum mangsa dipercayai dihanyutkan ketika cuba menyeberangi sungai untuk ke lokasi perkhemahan.
Lima lagi petugas Jupem sempat menyelamatkan diri dan melakukan pencarian awal, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini. – KOSMO! ONLINE














