fbpx
Tangkap layar antara perkongsian pengalaman pengguna Threads yang diganggu oleh individu didakwa ‘scammer’.

Jaga-jaga, Pak Arab ‘scammer’ pusing satu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada susulan tular dakwaan seorang lelaki dipercayai ‘scammer’ menyasarkan pengguna lebuh raya di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di seluruh negara.

Perkongsian pengguna Threads, @Fakrulatif_ mendakwa dia didekati masing-masing seorang lelaki dan wanita di R&R Sungai Buloh arah selatan pada pukul 7 malam kelmarin.

Dakwanya, individu itu yang menaiki kereta jenis Perodua Ativa berwarna merah bertanya sama ada dia boleh berbahasa Inggeris sebelum meminta bantuan wang RM400 dengan alasan kenderaan mengalami kerosakan.

“Dia kata datang dari Johor Bahru dan nak ke bengkel, tapi pelik sebab masa itu kami berada di R&R Sungai Buloh arah selatan. Dia juga mendakwa tidak dapat mengeluarkan wang kerana masalah bank,” katanya.

Bagaimanapun, selepas permintaan ditolak, lelaki tersebut bergerak ke arah kenderaan lain dipercayai mengulangi taktik sama terhadap pengguna lain.

Dakwaan itu turut disokong beberapa pengguna lain di Threads yang berkongsi pengalaman hampir serupa di lokasi berbeza.

Seorang pengguna @Aliahhsn mendakwa, kejadian sama berlaku di R&R Bukit Gantang arah utara apabila individu tersebut mendekati keluarganya dengan alasan datang dari Dubai dan kehilangan dompet anak.

“Malah, dia siap tunjuk laporan polis dan minta duit untuk isi minyak serta beli makanan. Bila kami kata tiada wang tunai, dia tetap mendesak walaupun sedikit,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Jaffrun86 berkongsi pengalaman serupa di sebuah stesen minyak di kawasan Solaris apabila lelaki terbabit menggunakan alasan masalah bank dan meminta RM400.

Katanya, individu itu dipercayai berlegar-legar di beberapa lokasi sekitar lebuh raya dan berhenti di hadapan kenderaan lain untuk meminta bantuan.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna mengesyaki ia merupakan taktik penipuan baharu yang menyasarkan orang awam dengan menggunakan kisah kecemasan serta latar belakang kononnya dari luar negara bagi meraih simpati.

“Hati-hati, nampaknya memang penipu. Ambil kesempatan bila orang ramai dekat kawasan R&R balik dari kampung. Pastikan pintu kereta semua berkunci walaupun nak turun isi minyak. Letak beg tangan bawah kerusi,” pesan @Asqil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN