IMOLA – Pelumba muda sensasi, Kimi Antonelli kini mula melihat peluang mencabar kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini selepas mencipta kemenangan sulung di China, sekali gus mengubah statusnya daripada rookie kepada pencabar sebenar.
Kemenangan di China membuka ruang realistik buat Antonelli untuk mencabar kejuaraan dunia, apatah lagi dia kini memandu jentera Mercedes yang dilihat antara paling kompetitif musim ini.
Bagaimanapun, Antonelli kekal tenang menjelang aksi di Grand Prix (GP) Suzuka, Jepun selain tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan ke atas dirinya.
“Saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Ia tetap satu perlumbaan seperti yang lain. Saya tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi saya tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri,” katanya.
Pelumba berusia 19 tahun itu turut menjangkakan cabaran sukar di GP Suzuka, terutama dari aspek teknikal dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Litar ini bukan mudah, terutama dari segi pengurusan tenaga dan keadaan trek yang baharu diturap. Cuaca juga dijangka sejuk, jadi kami tidak boleh melakukan kesilapan,” ujarnya.
Salah satu kekuatan utama Antonelli musim ini adalah keupayaannya mengurus tayar dengan baik, sekali gus memaksimumkan prestasi jentera Mercedes sepanjang perlumbaan.
Ketika ini, Antonelli hanya ketinggalan empat mata di belakang rakan sepasukan, George Russell, sekali gus membuka peluang pertarungan dalaman Mercedes bagi perebutan gelaran dunia.
“Saya tahu peluang seperti ini tidak datang selalu. Jadi saya perlu bersedia dan berjuang hingga ke penghujung kerana saya berada dalam pasukan yang hebat,” katanya. – AGENSI














