PETALING JAYA – Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves mengalami terjejas susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 434.423 antara Stesen Batang Benar – Labu malam ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi kenyataan memaklumkan, beberapa pelarasan operasi telah dilaksanakan melibatkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.
“Bagi perkhidmatan ETS EP9532 (JB Sentral – KL Sentral), tren akan tamat di Stesen Seremban dan akan menaiki bas ke KL Sentral dan stesen perantara.
“ETS EP9537 (KL Sentral – JB Sentral) pula, penumpang akan dibawa dengan bas dari KL Sentral dan stesen perantara untuk ke Stesen Gadut dan seterusnya menyambung perjalanan dengan tren ETS untuk ke destinasi.
“Untuk ETS EP9579 (KL Sentral – JB Sentral), penumpang akan dibawa dengan bas dari KL Sentral dan stesen perantara untuk ke Stesen Gadut dan seterusnya menyambung perjalanan dengan tren ETS untuk ke destinasi,” menurut KTMB hari ini.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves, operasi tren No. 2047 (Batu Caves – Pulau Sebang), penumpang akan dibawa dengan bas dari Stesen Batang Benar ke Stesen Seremban.
“Tren Komuter No. 2049 (Batu Caves – Pulau Sebang), perkhidmatan tren ini ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas .
“Tren Komuter No. 2051 (Batu Caves – Pulau Sebang) pula akan ditamatkan di Stesen Labu dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.
Bagi tren Komuter No. 2055 (Batu Caves – Pulau Sebang) pula akan ditamatkan di Stesen Bangi dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas.
Sehubungan itu, perkhidmatan ETS dan KTM Komuter dari arah Pulau Sebang ke KL Sentral akan ditamatkan di Stesen Seremban, manakala perkhidmatan tren dari KL Sentral ke arah Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Bangi sehingga dimaklumkan kelak.
“Bagi penumpang ETS yang terkesan dan tidak ingin meneruskan perjalanan, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket.
“Pasukan teknikal kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemulihan di lokasi kejadian bagi membolehkan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa dalam kadar segera,” katanya.
Para penumpang dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi KTMB termasuk media sosial rasmi KTMB dan daripada kakitangan stesen yang bertugas.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














