KUALA PILAH – Tular di media sosial video berdurasi 44 saat seorang kanak-kanak melintas jalan yang turut dilalui kenderaan berat dipercayai berlaku di jalan Seremban – Kuala Pilah, berhampiran Klinik Desa Tanjong Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan kira-kira 3 petang tadi dan siasatan pihak polis mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam semalam.
“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia setahun lima bulan dilaporkan sedang bermain di hadapan rumah bersama dua orang abangnya sebelum melintasi jalan tanpa disedari.
“Mujur seorang pengguna jalan raya yang prihatin menyedari perkara berkenaan dan telah memberhentikan kenderaan serta segera menyelamatkan kanak kanak tersebut sebelum diserahkan semula kepada penjaganya.
“Dalam kejadian ini, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku. Setakat ini, pihak polis belum menerima laporan rasmi daripada mana mana pihak, namun pemantauan rapi dan berterusan akan dijalankan oleh ipd kuala pilah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video berkenaan memaparkan kanak-kanak tersebut melintas selepas sebuah lori tangki melalui kawasan tersebut, sebelum berjalan tanpa haluan di jalan serta diselamatkan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE













