SEREMBAN – “Kami sudah tidak mampu lagi.” Demikian luahan sebuah keluarga yang terpaksa menanggung hutang lebih RM100,000 yang dibuat anak sulung mereka selepas lelaki itu melarikan diri ke Singapura.
Lebih menakutkan, keluarga tersebut kini hidup dalam ketakutan apabila diganggu dan diugut ceti haram hampir setiap 10 minit sejak 16 Mac lalu.
Mangsa dikenali sebagai Kong, 67, berkata, dia menerima mesej dan panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mempunyai maklumat lengkap mengenai dirinya dan ahli keluarga lain.
“Mereka ugut akan apa-apakan kami kalau tak bayar. Walaupun saya sudah menjelaskan tidak lagi mempunyai hubungan dengan anak sulung mereka masih berterusan mengganggu menggunakan pelbagai nombor telefon,” katanya ketika ditemui.
Difahamkan, anak lelakinya membuat beberapa kali pinjaman along sebelum ini dan dilangsaikan oleh keluarga dengan menggunakan wang simpanan selain menggadaikan emas.
Namun tahun ini, jumlah pinjaman dipercayai mencecah RM70,000, menjadikan keseluruhan lebih RM100,000 yang terpaksa ditanggung keluarga.
Jelasnya, jumlah sebenar hutang masih tidak diketahui kerana dipercayai melibatkan ceti haram berbeza yang digunakan untuk berjudi, melabur dan perniagaan yang tidak wujud.
Tidak tahan dengan tekanan dan demi keselamatan, Kong nekad memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak lelakinya.
“Sebagai ibu keputusan ini memang sukar, tapi demi keselamatan ahli keluarga lain, saya terpaksa,” katanya yang membuat dua laporan polis berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE













