SHAH ALAM – Sindiket penipuan semakin berani apabila apabila menggunakan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘umpan’ bagi memperdaya orang ramai menyumbang wang kononnya untuk “Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026”.
Mesej tular hari ini yang mendakwa majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor esok, selain menyertakan nombor akaun bank individu bagi tujuan kutipan derma.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menafikan sepenuhnya penglibatan Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam penganjuran program berkenaan.
“Ia merupakan satu cubaan penipuan atau scam yang bertujuan mengaut keuntungan serta mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan mesej tersebut dan tidak melakukan sebarang transaksi wang ke akaun yang dinyatakan.
“Mana-mana individu yang telah membuat sumbangan ke akaun berkenaan diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tegas beliau, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan nama jabatan atau identiti PDRM bagi tujuan penipuan. – KOSMO! ONLINE














