PETALING JAYA – Pelakon Adam Corrie pernah mencacah tatu pada badannya bukan disebabkan tekanan hidup, sebaliknya kerana tertarik dengan seni tersebut sebelum bertemu kemanisan iman.
Corrie atau nama penuhnya Adam Corrie Lee Abdullah, 57, berkata, dia tidak menafikan berasa ketagih untuk menambah koleksi tatu suatu ketika dahulu, namun itu semua tinggal sejarah.
“Sebelum kembali kepada Islam, saya buat tatu, bukan sebab tekanan atau nak lari dari masalah tapi sebab saya suka.
“Bermula dengan yang kecil kemudian nampak cantik dan rasa menarik. Lepas satu, tambah lagi dan lagi.
“Sampai satu tahap, rasa macam tak cukup, Kalau boleh, nak tatu penuh satu badan,” katanya.
Corrie yang memeluk Islam pada Julai 2007 bagaimanapun memberitahu dia mula berhenti mencacah tatu selepas sedar bahawa perkara tersebut adalah dilarang Allah SWT.
“Tapi dalam perjalanan itu, Allah mula jentik hati saya. Tanpa sebab yang jelas, saya berhenti.
“Bukan sebab orang larang atau dipaksa tetapi hati sendiri rasa cukup.
“Beberapa tahun kemudian, saya kembali kepada fitrah. Saya kenal Islam, faham dan sedar bahawa yang dulu saya anggap ‘cantik’ rupa-rupanya bukan jalan yang Allah reda,” katanya lagi.
Dalam masa sama, bintang filem KL Gangster itu melukis tatu pada badan sudah menjadi sejarah dalam kamu hidupnya.
“Hari ini, saya seorang hamba Allah yang sudah bersyahadah. Tatu itu, hanyalah sejarah.
“Bukan untuk dibanggakan dan diulang,” ujarnya.
Baginya ketika ini, menjaga akidah dan usaha menjadi individu lebih baik dalam setiap aspek menjadi sasaran utama.
“Yang perlu dijaga dan diperbaiki sekarang adalah akidah serta diri sendiri. Paling penting adalah usaha untuk jadi hamba-Nya yang lebih baik setiap hari.
“Kerana hidayah itu milik Allah dan bila Dia panggil, tak ada siapa boleh halang,” tuturnya.
Sejak semalam, isu berkaitan tatu hangat diperkatakan selepas seorang pempengaruh media sosial mendedahkan mencacah tatu pada badannya disebabkan mengalami kemurungan. – KOSMO! ONLINE














