MERSING – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi sungai di jeti Kampung Peta, Endau di sini petang semalam ditemukan lemas tengah hari tadi.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Adam Haziq Muhammad Hazriq, 15, dijumpai pada pukul 12.41 tengah hari kira-kira 100 meter dari lokasi dia hilang oleh anggota penyelamat bomba pada kedalaman enam meter.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Mersing dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, seramai enam anggota Balai Bomba Penyelamat Endau dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pukul 9.24 malam tadi. Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pukul 9 pagi tadi dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air. – KOSMO! ONLINE














