PASIR MAS – Seorang peniaga direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh dekat Kota Bharu semalam.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Jumaat terhadap wanita berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai membabitkan api atau bahan mudah terbakar yang boleh membahayakan nyawa atau harta benda.
Difahamkan, seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan pekerja kepada wanita tersebut dibebaskan dengan jaminan polis.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, dua individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh dekat Kota Bharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, pemilik premis itu yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun dan penjaga kedai tersebut diberkas kira-kira pukul 8.30 malam.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, wanita itu mempunyai permit dan lesen untuk menjalankan perniagaan bunga api dan mercun.
“Wanita itu juga merupakan pemilik kedai makan dan menjalankan perniagaan menjual bunga api di alamat sama dengan premis tersebut.
“Pihak forensik bomba mengenal pasti kebakaran tersebut berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari kedai makan ke lampu warna-warni di gerai bunga api dan mercun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














