fbpx
TANGKAP layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kereta suspek dikejar kereta peronda polis dalam kejadian di Padang Serai, Kulim kelmarin.

Pemandu Kancil rempuh khemah jamuan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang tular dikejar polis sehingga merempuh meja di bawah khemah jamuan berjaya diberkas dalam satu serbuan di Padang Serai, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faizal Tengku Yeng berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan Kampung Sidam Kanan kira-kira pukul 8 malam.

Kata beliau, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 9.45 malam, kelmarin apabila anggota unit kereta peronda (MPV) mengesan sebuah kereta Perodua Kancil berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di kawasan sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi.

“Anggota polis mengarahkan pemandu berhenti dengan menyalakan lampu beacon serta siren, namun suspek enggan dan bertindak melarikan diri ke arah Taman Lagenda dan memandu secara melulu sehingga melanggar khemah, kerusi dan meja di hadapan sebuah rumah sebelum terus memecut ke arah Taman Mahsuri,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, suspek turut melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain di Simpang Tiga Fok Siang sebelum melarikan diri ke arah Kampung Selamat, Pulau Pinang dan menghilangkan diri.

“Hasil risikan dan operasi susulan, polis berjaya menahan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu keesokan harinya. Pemeriksaan lanjut menemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.3 gram selain ujian air kencing suspek didapati positif methamphetamine,” ujarnya.

Tambahnya, polis turut merampas kereta Perodua Kancil dan satu anak kunci kenderaan bagi membantu siasatan, manakala suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI