KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bangsar, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa berusia 20 tahun itu melintas dari bahu kiri ke bahu kanan di lokasi yang bukan lintasan pejalan kaki.
“Ketika kejadian, wanita berkenaan dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit sehingga menjejaskan kepekaan terhadap keadaan lalu lintas.
“Tindakan itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun gagal mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal hilang kawalan sebelum melanggar dua lagi kenderaan iaitu sebuah Toyota Vellfire serta sebuah lori jenis Hino.
“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut sedang berhenti di lampu isyarat merah,” jelasnya.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal dan pejalan kaki mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan sebagai pesakit luar manakala pemandu kenderaan lain tidak cedera,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














