fbpx
GAMBAR fail menunjukkan kenderaan dan pejuang PMF di Iraq. - AFP

Iraq ‘sertai’ perang Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGHDAD – Majlis Menteri bagi Keselamatan Negara memberi kuasa kepada militia Iraq dikenali sebagai Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) dan agensi keselamatan lain untuk mempertahankan diri serta membalas sebarang serangan menyasarkan anggota atau kemudahan mereka, lapor laman berita Eurasia Review hari ini.

Dalam mesyuarat tergempar dipengerusikan Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani, majlis tersebut turut mengarahkan penguatkuasaan waran tangkap terhadap individu dan kumpulan yang terlibat dalam serangan ke atas institusi keselamatan, kemudahan awam dan misi diplomatik, dengan arahan untuk mendedahkan identiti mereka yang bertanggungjawab kepada umum.

Kerajaan Iraq juga akan memanggil utusan Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Baghdad untuk menyerahkan bantahan rasmi berhubung serangan menyasarkan militia Kurdis, Peshmerga dan PMF.

Keputusan itu diambil ketika serangan Amerika Syarikat-Israel semakin sengit di seluruh Iraq, menyasarkan kedudukan PMF.

Semalam, serangan udara membedil markas PMF di wilayah Anbar, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 askarnya, termasuk seorang komander kanan, demikian menurut pegawai Iraq yang menyifatkan operasi itu sebagai serangan bersama ‘AS-Israel’.

Sejak perang terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu, tapak PMF dilaporkan telah diserang di pelbagai wilayah, termasuk Baghdad dan Babylon, yang terus mengheret Iraq ke dalam konflik serantau yang semakin meluas.

Dalam perkembangan berkaitan, Kataib Hezbollah yang merupakan kumpulan utama dalam PMF, mengumumkan penggantungan serangan selama lima hari ke atas Kedutaan AS di Baghdad.

Kumpulan tersebut berkata, penangguhan yang kini dilanjutkan itu dengan syarat Israel menghentikan serangan ke atas kawasan perumahan dan operasi ketenteraan di Lubnan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN