BERGAMO – Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso menekankan aspek mental berbanding taktik menjelang aksi separuh akhir playoff Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Ireland Utara di Stadium Gewiss awal pagi Jumaat ini.
Selepas kempunan ke Piala Dunia sejak kali terakhir layak pada edisi 2014, Gattuso menggesa anak-anak buahnya supaya menunjukkan kekuatan mental kerana ia mampu menjadi penghalang utama.
Gattuso berkata, beliau enggan memberikan tekanan melampau kepada pemain-pemain Azzurri kerana ia mampu mengganggu fokus, sekali gus mengancam peluang mereka untuk mendapatkan slot ke Piala Dunia.
“Kami perlu membuatkan pemain berada dalam keadaan selesa dan tidak tertekan untuk perlawanan itu nanti. Semua orang tahu Itali tidak layak ke Piala Dunia dalam dua edisi terdahulu, jadi tidak perlu menambah tekanan kepada pemain.
“Dalam pasukan ini, ada pemain-pemain yang pernah memenangi Euro dan bermain di perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah. Oleh itu, mereka sudah biasa dengan perlawanan seperti ini dan saya percayakan mereka,” katanya.
Legenda bola sepak Itali itu turut menjelaskan, mereka tetap menghormati pasukan lawan dan sedia untuk memberikan segala-galanya bagi memastikan kemenangan menjadi milik juara Piala Dunia 2006 itu.
“Kami perlu memikirkan mengenai perlawanan tersebut, tidak ada sebarang alasan. Semua pemain perlu menunjukkan mentaliti sebagai pemenang selain tetap menghormati kemampuan pasukan lawan,” ujar Gattuso. – AGENSI














