SETIU – Seorang pengusaha tembikai meneruskan tradisi mengagihkan buah dan air minuman kepada pengguna jalan raya yang terkandas dalam kesesakan di Kampung Beris Tokku di sini sejak raya ketiga, kelmarin.
Dalam masa tiga hari, Muhammad Lukmanul Hakim A. Rahmam, 28, berkongsi hampir dua tan tembikai dan Melon Manis Terengganu (MMS) kepada pengguna kenderaan di kedua-dua arah ke Kuala Terengganu dan Kelantan.
Katanya, dia dan keluarganya memulakan ‘sumbangan kecil’ itu sejak Aidilfitri 2023.
“Sekarang ini musim panas dan kebanyakan kedai makan masih belum dibuka. Saya berasa puas melihat mereka tersenyum dan mengucapkan terima kasih selepas mendapat buah dan air minuman,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Beris Tokku hari ini.
Muhammad Lukmanul Hakim berkata, kebanyakan bekalan tembikai dan MMS yang diagihkan itu diperoleh dari ladang milik keluarganya yang terletak berhampiran kampung tersebut. – KOSMO! ONLINE














