PETALING JAYA – Seorang wanita menerima kejutan duit raya RM1,000, namun keseronokan itu dinikmati tidak lama selepas dia ‘terpaksa’ memulangkan semula wang tersebut.
Menerusi perkongsian oleh seorang pengguna Threads dikenali sebagai Sitialya1117, wang raya tersebut telah tersalah beri oleh salah seorang tuan rumah ketika dia berkunjung ke sebuah kediaman.
“Alhamdulillah, rezeki terpijak raya 2026. Tengok-tengok 10 keping. Pelik sebab duit raya paling-paling pun dapat dalam RM2, RM5, RM10.
“Kita u turn (pusing semula) ke rumah tuan rumah sebab rasa tak mungkin. Rupa-rupanya tuan rumah tersalah bagi, pulangkan dengan hati reda. Sempat merasa mewah lima minit,” kata wanita itu.
Perkongsian wanita tersebut turut mendapat pelbagai reaksi pengguna di aplikasi tersebut yang rata-rata memuji sikapnya memulangkan semula wang raya berkenaan.
“Kaya sekejap di dunia tapi kat “sana” (akhirat) awak akan kaya selama-lamanya sebab jujur dan tulus memulangkan pada yang berhak. Tahniah sebab berjaya melepasi ujian,” komen Nanajugakkkk.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Azalinaothman.
“Sama situasi dengan kami malam tadim anak buka sampul dalam kereta tengok ada RM500, terus u turn (pusing semula) hantar balik.
“Nasib tak jauh dari rumah mak cik, anak saya pun berkeras nak pulangkan sebab mak cik saya baru lepas potong kaki. Siap anak kata, kita kena pulangkan mungkin ini duit untuk ubat nenek, dia tersilap bagi Daniel. Alhamdulillah anak ada fikiran begitu,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














