PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa hiba apabila melihat ‘industri tomyam’ di Shah Alam lumpuh susulan ketiadaan peniaga dan tukang masak yang masih bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Lelaki itu yang dikenali melalui akaun Threads @Hc_Soon berkata, tindakan kebanyakan pengusaha kedai makan tersebut yang pulang ke kampung halaman masing-masing telah menyebabkan peminat tegar hidangan itu kini ‘berduka’.
Katanya, dia merayu agar peniaga dari Pantai Timur dan Thailand segera kembali beroperasi kerana rata-rata kawasan di Shah Alam kini sukar untuk mencari kedai tomyam yang dibuka.
“Baliklah wahai Kelantan, kami janji akan jadi baik lepas ini. Kelantan dah merajuk,” katanya.
Orang ramai mengakui situasi tersebut berlaku setiap kali musim perayaan besar atau apabila tiba waktu urusan pembaharuan pasport di sempadan.
Menurut @Pu3riena, kebanyakan tukang masak di kedai berkenaan sebenarnya merupakan warga Siam dari Thailand yang sering disalah anggap sebagai rakyat tempatan kerana dialek percakapan yang hampir serupa.
Situasi ‘lumpuh’ itu bagaimanapun dijangka kembali pulih dalam masa terdekat sebaik sahaja semua urusan pulang ke kampung peniaga selesai. – KOSMO! ONLINE














