PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah celsius selepas pembukaan semula sesi persekolahan pada minggu hadapan.
Menerusi satu kenyataan KPM berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan persediaan bagi menghadapi cuaca panas ketika ini.
“KPM juga akan mempertimbangankan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas berdasarkan kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, KPM turut memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“KPM juga akan memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan,” katanya.
Pada masa sama, KPM akan membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
“KPM juga sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” ujar KPM. – KOSMO! ONLINE














